Sunday, July 3, 2011

Getirnya menjadi seorang "Cikgu"

Menjejakkan kaki dan diri ke SMK Tinggi Port Dickson bukan sebagai pelajar, memang merupakan satu beban yang bukan mudah.

Apatah lagi apabila diberi amanah menjaga kelas paling hujung dari 9 kelas, memerlukan minda dan mental sentiasa perlu bersedia dengan pelbagai karenah yang pelbagai ragam.


Sekolah bakti dicurahkan.

mulanya terasa sungguh tekanan di bahu, ibarat memikul sebuah gunung tak bernama. Terasa mahu juga berhenti dari laluan sebagai pendidik ini.

Namun, berkat "tepu" memarahi pelajar, akhirnya menyedari bahawa mereka juga sebenarnya mahu perhatian yang lebih.

"bukan kerana malas belajar, tetapi tidak mahu belajar". itu yang perlu guru bijak merencana bagi pelajar kelas belakang.

Mereka sentiasa saja diberi pandangan negatif.Pemalas,melawan kata, suka tidur, tak buat kerja rumah, menjejaskan prestasi sekolah".

Namun guru juga perlu sedar. Mereka juga perlu membina apa yang dipanggil masa depan. Jangan mengajar terlalu berorientasikan peperiksaan bagi kelas seperti ini.

sebaliknya melihat konteks pengisian ilmu itu sama ada boleh difahami oleh mereka atau tidak.bermaknanya, cara penyampaian guru juga perlulah dipermudahkan dan diberikan satu persatu.

walaupun tugas itu sangat membebankan, namun harap-harapnya keihkhlasan hati ini mendidik mereka akan terbalas dengan melihat kemampuan mereka untuk "membaca".

jadi guru memang mudah, tetapi menjadi guru yang mahu mendidik bukan mudah sebenarnya. Banyak dan terlalu banyak cabaran.

Ikhlaskan hatimu, mendidik anak bangsa.

Saturday, March 26, 2011

Getaran Jiwa

Getaran jiwa melanda hatiku
Tersusun nada, irama dan lagu
Walau hanya sederhana
Tetapi tak mengapa
Moga dapat membangkitkan
Sedarlah kamu wahai insan

Tak mungkin hilang
Irama dan lagu
Bagaikan kembang
Sentiasa bermadu




Andai dipisah lagu dan irama
Lemah tiada berjiwa... hampa

Tak mungkin hilang
Irama dan lagu
Bagaikan kembang
Sentiasa bermadu

Andai dipisah lagu dan irama
Lemah tiada berjiwa... hampa

Tak mungkin hilang
Sinar bintang tetap terus gemilang
Dan jasamu, segala baktimu
Akan terus kekal ke akhir waktu

Friday, March 18, 2011

MEREKA GURU SAYA

Teruja sungguh apabila semester ini, saya diajar oleh dua orang pensyarah yang selama ini hanya melihat gambar mereka di internet dan juga buku-buku mereka.

Akhirnya dapat juga saya berguru dengan mereka, sekurang-kurangya untuk semester ini walaupun hanya untuk 14 minggu.

Kualiti dan luasnya ilmu mereka sememangnya tidak dapat dinafikan.


Profesor Emeritus Abdullah Hasan

Tutur kata disusun sebaik mungkin dan pelajar dimarah supaya bahasa diperbetulkan. Itu yang unik ada pada Profesor Emeritus Abdullah Hasan.

Apabila berdiri di depan kami, terasa auranya cukup kuat untuk buat kami senyap dan terkedu.


Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana)

Teknik drama yang berkesan beserta skrip yang kukuh jalan ceritanya menjadi intipati Profesor Madya Mana Sikana.

Apabila berkongsi idea, terasa jauh sungguh kami terbelakang dalam aspek drama.

Kesederhanaan berpakaian mereka,malah berselipar ke kelas sungguh terkesan bagi kami.

Inilah contoh guru yang bagi saya sangat bagus, sangat berkualiti bukan kerana reputasi tetapi kerana sikap mereka yang ramah dan baik hati.

kenangan ini pasti akan jadi kenangan paling bermakna sepanjang pengajian di UPSI ini.

Monday, February 28, 2011

Bungkam


Hari ini, tidak seperti semalam. Mungkin masih lagi hari yang letih, tetapi hari ini lebih letih mentalnya, dari fizikalnya.

Mempunyai sahabat sememangnya sesuatu yang menyenangkan, andaikata sahabat itu menyenangkan kita.

Namun andai hanya mahu mengaut keuntungan demi kepentingan peribadi, itulah yang meletihkan sebenarnya, kerana terjerat dalam talian emosi yang kusut.

Pada peringkat tertinggi ini, apabila semuanya berada dalam satu tingkat.. amat sukar untuk melihat berlaku penerimaan positif apabila sesuatu kritikan ata nasihat itu dilontarkan.

Pastinya akan ada sahaja jawapan kepada persoalan dan sedikit kata-kata yang tidak seberapa itu sama ada datang dari jiwa yang amarah atau hati yang keras untuk dicairkan.

Itulah apabila sukarnya menerima pandangan dar prospek yang berlainan, memungkikann malu itu wujud sedang berada dalam medium yang sama.

Tersenyum, kadang kala pula sakit hati. Namun itu semua ragam. Biasalah manusia.. “yang berak di tengah jalan masakan mahu mengaku itu adalah tahinya”.

Apatah lagi jika yang bertanya itu satu tatatingkat dengannya.

Akhirnya juga saya memahami bahawa manusia dijadikan oleh Allah dengan pelbagai perasaan yang rasanya sukar diduga dan ada kalanya begitu mudah untuk ditelah.

Pada waktu ini, menjangkau 2 pagi.. teman sebilik saya sudahpun tidur lena..namun saya masih lagi berperang dengan emosi.

Dalam menanti esok hari.

Moga ada kekuatan tersembunyi tanpa diketahui..

Moga Allah S.W.T berkati perjuangan ini.

Sunday, February 13, 2011

Perkongsian Rasa

Alhamdulillah..sudah minggu kelima berkuliah. Walaupun terasa sangat dan begitu terbeban dengan tugasan yang diberikan pensyarah, namun akhirnya perlu juga menyiapkannya.

Sudah agak lama membiarkan blog ini sunyi walaupun entah ada ke tidak pengunjung di sini.




Minggu ini secara tidak sengaja, telah melayari blog dua orang pelajar UPSI yang saya kiranya ialah pelajar-pelajar junior. Umumnya hanya ingin berkongsi cara penulisan mereka. Kedua-duanya cantik manis tetapi sayangnya bahasa mereka sungguh tidak sopan. Menggunakan perkataan yang mencarut seperti bab*, banga**, bod** dan sebagainya membuatkan saya terkejut kerana mereka ialah bakal guru yang akan mendidik anak bangsa.

Malah salah seorang mereka dengan terang-terangan mengutuk pak guard sebagai bang***.

Aduhaii sedih betul melihat perangai manusia yang sebegini. Mereka adalah wanita sedang kami yang kerap pulang lewat bermain futsal dan dimarahi pak guard pun masih tak sampai hati nak kata pak guard sebagai bang***.

Ini adalah isu moraliti dalam masyarakat. Bagaimana mereka mempelajari perkataan mencarut itu tidak penting, tetapi yang penting mengapa mereka mempraktikkannya dalam kehidupan mereka. Jika saya ada anak dan mereka inilah yang mengajar anak saya di sekolah, pastinya saya akah segera menukarkan anak saya ke sekolah lain. Tetapi bagaimana kita mahu menduga perkara seperti ini.

Malahan kini, semakin ramai pelajar-pelajar wanita UPSI yang berpakaian tidak menutup aurat sewaktu keluar makan di sekitar kedai-kedai di kolej kediaman. Jika dahulu masa saya di Tahun 1, saya melihat pakaian mahasiswi cukup beradab namun kini? Bersepah-sepah yang menayangkan aurat mereka.

Malahan sewaktu menghadiri kuliah maghrib di Ulu Bernam, penceramah telah mengatakan pelajar UPSI kini dilihat semakin kerap berpeleseran dengan pasangan masing-masing tanpa menghiraukan batas-batas agama.

Guru ialah Muallim. Guru ialah Murabbi. Namun jika beginilah perangai bakal-bakal guru, ianya sama dengan pepatah “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”..

Saya bukanlah manusia yang sempurna, namun saya berusaha untuk mematuhi batasan agama.



Sedih sungguh melihat mahasiswa berpelakuan begini. Ada otak yang bijak pandai tetapi tak mahu gunakannya. Bukankah itu dikatakan “kurang pandai”.... layakkah mereka bergelar mahasiswa? Sedangkan masih lagi tidak dapat membezakan mana yang boleh dan tak wajar dilakukan..

Muhasabah diri..itu perlu. Dan saya sentiasa cuba lakukan itu. Anda juga boleh.

Friday, January 7, 2011

Satu kehidupan yang beridentiti

Mereka menghidupkan suasana dengan pergerakan yang menghiburkan. Itu, bukan..semua itu datang dari objek yang tidak sukar dikecam bentuknya. Pergerakan yang tidak malar membolehkan objek melalui titik-titik silang tanpa sebarang halangan yang terlalu sukar. Itulah satu kehidupan beridentiti tanpa kita sedari berlaku sehari-hari dalam kehidupan harian.

Semester ini, juga ada banyak dugaannya, cabarannya dan juga perkara yang mungkin tidak terjangka. Tugasan yang diberikan memerlukan pelajar mempunyai akaun Facebook dan juga laman blog yang baru. Walaupun begitu, walaupun masih cuba mengelak akhirnya terpaksa juga mengenai diri, mengenai masa depan. Akhirnya...

Juga sudah mengenali siapa rakan siapa lawan. Siapa boleh sama susah siapa boleh sama senang. Siapa rapat dialah rakan. Siapa datang masa susah dialah lawan walaupun dia adalah rakan. Itulah adalah satu persoalan yang wujud dalam minda. Jiwa boleh terperangkap dengan perasaan kasihan, belas ikhsan. Tiada salahnya. Berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekali.


terbang bebas, lepaskan sayap..lepaskan semua.

Bumi ini bulat, berpijak dalam satu realiti dan fantasi. Usah lagi fikir apa yang minda disebelah mengatakan. Lihat masa hadapan yang terbentang luas. Sejauh mana kita melangkah..itulah diri kita.
Perjalanan,perjuangan di sini, bumi Tanjung Malim kian memasuki fasa-fasa terakhir sebelum berada di ruang kawasan yang lain. Moga dirahmati Allah hendaknya.

Impian dan harapan tetap satu. Jadi pendidik, bukan sahaja untuk ilmu dunia, tetapi juga ilmu akhirat.

Tuesday, December 21, 2010

Pengujian

Kita sudahpun melewati bulan pertama Islam, bulan Muharam memasuki 1432 Hijrah dan tahun baru 2011 juga bakal menjengahkan sayapnya tidak lama lagi.



Alhamdulillah sehingga ke hari ini, masih lagi dikurniakan nikmat untuk bernafas, makan, minum dan melakukan aktiviti keduniaan dengan izin Allah. Usia juga semakin meningkat dengan berganjak ke angka 3 di sebelah kanan 2.

Meniti waktu di bulan disember ibarat mengenang kembali waktu dulu yang penuh dengan kisah silam. Entah mengapa perjalanan menyelusuri denai yang tiada pastinya waktu berakhirnya ini kian lemah dan longlai. Memungkinkan diri dilanda satu kekufuran nikmat namun masih diuji dengan dugaan dan cabaran yang tiada kesudahan. Walaupun istiqamah itu penting namun diri tetap juga manusia biasa yang kadangkala dan juga selalunya tewas!!



Jisim yang tidak mengenal erti putus asa akan cuba melebarkan fahamannya yang sesat itu lantaran kealpaan manusia untuk beribadat dengan hati yang ikhlas. Lalu disitulah wujud polemik dalam kerohanian diri samaada kita akan jadi benar-benar ikhlas atau terpaksa atau hanya semata-mata untuk menjadi santapan mata manusia lain.

Manusia yang gagal dalam kehidupan masa depan di dunia bukanlah akan gagal di akhirat dengan syarat mindanya mestilah mampu untuk mengawal arah mana yang harus dituju dalam kehidupan yang dihuni oleh pelbagai makhluk ini. Kita bisa sahaja memilih jalan yang lurus tetapi akhirnya kita memilih juga jalan yang bengkang-bengkok dan tidak lurus itu. Bodohnya kita kerana memilih yang “susah” dari yang “senang”.

Kita mudah sahaja melanggar perjanjian yang sudah termaktub itu,

tapi akhirnya nanti..

Kita tanggunglah akibatnya..

Bukan di sini...tapi..

Di sana.

Bacalah juga

Related Posts with Thumbnails